Ujian dan musibah hidup


💎UJIAN MEMBONGKAR MAZMUMAH💎

Ujian adalah merupakan sebuah alat ukuran untuk mengukur tahap keimanan kita kepada Allah Ta’ala. Keimanan yang wujud harus diuji untuk memastikan kualiti dan kuantitinya. Tidak boleh dikatakan benar-benar beriman selagi tidak diuji oleh Allah Ta’ala.  

Ujian juga adalah pengimbas dan pembongkar hati manusia. Hati manusia ini bagaikan kolam yang dipenuhi air yang jernih, kelihatan tenang dan bersih pada zahirnya. Namun kejernihan itu belum tentu akan bertahan lama, apabila air itu dikocak maka akan terbongkarlah segala kotoran dan mendapan yang telah bertahun-tahun mendiami dasar kolam itu. Kita tidak mungkin mengenali diri orang lain mahupun diri kita, selagi kita tidak diuji. Diwaktu senang, memang ramai yang bersifat seperti malaikat, tetapi belum tentu ketika diuji. Dengan ujian itulah maka akan terzahir satu persatu sifat buruk diri yang harus diperbaiki. 

Bagi orang yang benar-benar mukmin, ujian itu adalah merupakan suatu rahmat dan kebaikan untuk dirinya. Kerana dengan ujian itu dia akan mampu kenal hati budinya sendiri. Apabila kelodak mazmumah terungkai, dia dapat mengesan dan membersihkan kotoran itu dengan sentiasa memperbaiki diri, agar dirinya lebih baik dari tadi. Dengan ujian, dia lantas dan pantas memohon ampun dengan penuh rendah diri kepada Allah Ta’ala. Dengan itu jugalah, dia akan kenal yang dirinya masih penuh dengan dosa yang kadang kala dia tidak sedari kerana dasar kolam jiwa masih belum disentuh. Oleh itu, orang yang mukmin, apabila diuji, akan bertambah dekat dia dengan Allah Ta’ala, akan bertambah meningkat makamnya disisi Allah Ta’ala.

Manusia perlukan ujian. Kerana ujian itu hakikatnya adalah kebaikan. Kenalilah Tuhan. Dia yang menguji kita, ujian itu datang daripadaNya. Dia Maha mengetahui kemampuan hamba-hambaNya, Dia sesekali tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.  Allah Ta’ala yang Maha baik telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :

“Allah tidak membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya….”

Surah al-Baqarah : 286 (2 : 286)

Setiap apa yang telah diperuntukkan oleh Allah Ta’ala untuk manusia, semuanya sesuai dan mengikut kemampuan hamba-hambaNya itu. Dialah Allah Pencipta kita, dia lebih tahu mengenai diri kita berbanding kita sendiri. Kita sebenarnya tidak tahu apa-apa melainkan apa yang diberikan oleh Allah Ta’ala.

Ingatlah, setiap ujian itu walaupun ianya adalah ujian yang paling berat yang pernah kita hadapi dalam hidup ini, semuanya adalah yang termampu oleh kita. Sebenarnya kita mampu untuk menanganinya dengan berbekalkan kekuatan iman dan taqwa. Hanya orang yang nipis akal dan imannya sahaja yang sering menyalahkan perbuatan Allah Ta’ala. Mereka yang kalah dengan ujian adalah mereka yang gagal mendidik hatinya untuk menjadi kuat, agar tidak mudah dikuasai oleh nafsu (emosi).

Bagi mereka yang kenal Allah Ta’ala, mereka sangat meyakini bahawa setiap kesusahan itu pasti diiringi dengan kesenangan, kerana itulah janji Allah Ta’ala kepada hamba-hambaNya. Allah Ta’ala tidak pernah sesekali memungkiri janjiNya. Janji Allah Ta’ala ini telah termaktub dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kerana sesudah kesulitan itu, ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan…”

Surah Alam Nasyrah : 5-6 (94 : 5-6)

Ujian yang dianugerahkan oleh Allah Ta’ala itu adalah merupakan wadah untuk mendidik hati. Hati manusia kebiasaannya akan dekat dengan Allah Ta’ala sewaktu susah. Kerana di waktu itu, dia tidak lagi merasakan dirinya berkuasa untuk menanganinya, maka dia akan memohon pertolongan dari Tuhan yang Maha kuasa. Dengan ujian itu, hati manusia akan sentiasa dekat dengan Allah Ta’ala, selalu merintih merayu dan selalu bermanja-manja dengan Allah Ta’ala. Maka bertambah cinta Allah padanya. 

Ujian adalah lambang cinta Tuhan kepada hamba-hambaNya. Oleh kerana itulah para sahabat dan orang-orang soleh risau jika tidak diuji oleh Allah Ta’ala, takut jika Allah Ta’ala tidak lagi cakna padanya, dan membiarkan dirinya hanyut dalam kelalaian.

Jika kita perasan, setiap kali kita diuji, dan setiap kali itu jugalah kita semakin dekat dengan Allah Ta’ala dan setiap kali itu jugalah kita sangat pasrah dan hati kita rasa sangat tenang. Itulah nikmatnya ujian. Sebaliknya ada rahmat dan redhaNya. 
Credit to ustaz suhaimi nawi.

One thought on “Ujian dan musibah hidup

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s