Peristiwa Nakbah (Malapetaka)


Berikut ini dikongsikan isi Khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Jame’ Serdang oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence), sempena Hari Peringatan Nakbah Palestin pada 15 Mei baru-baru ini. Peristiwa Nakbah (Malapetaka) ialah apabila tanah Palestin dirampas secara rasmi oleh golongan Zionis dengan penegakan negara haram Israel dan penduduk asalnya dihalau keluar.
Semoga dapat dimanfaatkan.
Khutbah pertama
Isi khutbah pertama
Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera ‘The Star of David’ dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram israel diistiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.
Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 60 tahun ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh ,asyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk merempat di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini nasib mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai serorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?
Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa ‘nation state’ yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT ‘Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku’. Di tempat yang lain Allah berfirman ‘Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau bertaqwa kepada-Ku”.. .
Oleh kerana begitu mendalamnya konsep ‘nation states’ yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan ‘legacy’ penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang ‘artificial’ sehingga wujudlah 67 negara bangsa yang kadang-kadang hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea… Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 67 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin dikelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu Baitul-Maqdis di mana terletaknya Masjid al-Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul-Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bari Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu Masjid al-Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan lewat hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di Masjid al-Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.
Solat di Masjidil-Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (di tempat lain), dan solat di masjidku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul-Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani)
Masjid al-Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra’ bin `Azib:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان أول ما قدم المدينة نزل على أجداده من الأنصار وأنه صلى قبل بيت المقدس ستة عشر شهرا أو سبعة عشر شهرا.
Daripada al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul-Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi Masjid al-Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.
Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, terangkan kepada kami hukum menziarahi Baitul-Maqdis. “Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari
Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Saydina Umar al-Khattab RA telah mengistiharkan Baitul-Maqdis yang melengkari Masjid al-Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setelah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom Timur (Byzantium).
Isi khutbah kedua
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi Yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi  oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul-Maqdis timur di mana terletaknya masjid al-Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubbi ketika Baitul-Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka. Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk tiga bulan yang pertama pada tahun 2008 sahaja telah mencecah 300 orang. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam? Apabila penduduk Gaza merobohkan tembok sempadan di Rafah, Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan mereka, Hosni Mubarak, Presiden Mesir telah mengarahkan agar sempadan tersebut ditutup atas arahan Israel. Di masa penduduk Gaza berhadapan dengan tragedi ini. Raja Abdullah dari Arab Saudi telah menerima kunjungan dari Presiden Bush dan diberikan pula pelbagai hadiah istimewa termasuk beberapa ekor kuda dari baka jenis yang terbaik yang dimiliki oleh keluarga di raja Saud.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kita juga amat kesal dengan sikap pemimpin di negara ini yang tidak sensitif dengan penderitaan rakyat Palestin. Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengundang pasukan bolasepak Chelsea untuk beraksi di Malaysia. NGO-NGO Islam telah mengemukakan bantahan ke atas kunjungan tersebut kerana pasukan Chelsea turut dianggotai oleh dua orang rakyat Israel. Malah salah seorang pemian yang merupakan rakyat Israel adalah bekas anggota tentera Israel IDF (Israeli Defense Force). Alasan yang diberikan ialah sukan tidak boleh dicampur-adukkan dengan politik.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam bersorak meraikan pemain bolasepak Israel yang beraski di padang bola dan di masa yang sama membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap keborokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinny a terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira tentang satu kelompok yang terus berjuang dan mereka tidak mungkin dikalahkan oleh musuh-musuh mereka sehinggalah Allah memberi kemanangan kepada mereka. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW di manakah mereka itu, dijawab oleh Nabi ‘mereka itu berada di Baitul-Maqdis dan di sekitar Baitul-Maqdis’ . Maka sidang Jumaat yang dirahmati Allah, istiqamahnya para pejuang di Palestin pada hari ini dalam mempertahankan tanah suci umat Islam adalah gambaran dari kebenaran kata-kata Rasulullah SAW. Semuga kita semua termasuk dalam golongan yang bersama berjuang untuk membebaskan bumi Palestin, tanah suci umat Islam dari penjajahan musuh.
Ameen Ya Rabuul Alaamin
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s