poligami- Seribu’ satu kisah mengapa berpoligami


Kisah Satu

Mariam Hanna bagai tersentak daripada tidur yang lena, khabaran yang didengarnya petang tadi meluluhkan hati wanitanya. Liana, sahabatnya memberitahu, dia tidak sanggup lagi membohongi Mariam. Adam, suami Mariam sebenarnya, sudah 2 tahun berumahtangga lagi dan memiliki 2 cahaya mata. Liana yang selama ini tidak sampai hati untuk memberitahu sahabatnya itu akhirnya tidak mampu berdiam diri.

Mariam Hanna merasakan yang dunianya sudah berakhir. Fikirannya buntu, hatinya kosong, sekosong-kosongnya, pecah berkecai umpama jatuh ke batu, hilang segala kepercayaannya pada suami yang selama ini dirasakan tidak akan sampai hati menduakannya. Apabila mendengar orang lain dimadukan, dia bercerita dengan suami seolah-olah perkara itu tidak akan berlaku padanya. Baginya, hidupnya bahagia, sempurna, 4 anak yang mengikat kasih mereka berdua dirasakan cukup kuat menjadi penghalang suaminya dari berlaku curang pada cinta mereka.

Kini, segalanya berubah sekelip mata. Dia hidup berendam air mata, wajah suami ditatap penuh benci, nalurinya rasa kuat sekali untuk pergi ke dapur, mengambil pisau dan mencincang Adam sehingga lumat. Biar puas hatinya. Di matanya seakan-akan nampak bayangan Adam terbaring dalam sungai darah, sementara dia berdiri di sebelah dengan sebilah pisau dan sedang tersenyum penuh kepuasan. Dia berazam untuk membuktikan pada Adam, seandainya Adam boleh mencari perempuan lain, maka dia juga tidak akan ketinggalan mencari kekasih baru. Biar Adam merasakan apa yang dia rasa, biar Adam tahu bagaimana pedihnya hati yang terluka, bagaimana pahitnya air yang ditelan, bagaimana berdurinya makanan yang dimakan.

Dengan hati yang tercalar, dia akan mulakan hidup baru. Baginya tidak ada gunanya lagi dia mempertahankan perkahwinannya, andai suami yang dicintai sepenuh hati, yang merasa susah dengannya pada awal perkahwinan mereka, namun, bila telah mengecap kemewahan dengan mudah mahu memberi kesenangan kepada perempuan lain. Malah, masih segar dalam ingatannya akan janji manis suaminya bahawa hanya dia yang akan menjadi penyeri hidup, tidak akan mungkin cintanya beralih arah, cukuplah seorang Mariam Hanna di hati seorang lelaki bernama Adam. Hemmh, jantan pembohong. Begitu pandai menanam tebu di bibir mulut. Akan dibuktikan bahawa dia juga masih cantik dan mampu mencari lelaki lain. Bermulalah episod baru dalam dirinya, hidup penuh benci dan dendam .

Kisah Dua

Nur ‘Ain Nabila juga dimadukan suaminya. Namun, apa yang dikesalkannya, bukanlah hakikat bahawa wanita yang menambat hati suaminya itu adalah kerani di pejabat suaminya itu sendiri tetapi kenyataan bahawa Halim bercinta dengan isteri orang.

Halim seorang ketua pejabat telah memadu kasih dengan keraninya, Fatimah sehingga membuat rumah tangga Fatimah dengan Azlkan berkecai. Azlkan, suami Fatimah yang juga kakitangan di pejabat Halim menyaksikan sendiri adengan cumbuan isteri dan bosnya itu apabila secara tidak sengaja dia dengan ‘lurus bendulnya’ masuk ke bilik bosnya untuk membincangkan kertas kerja yang diarahkan siap dengan segera oleh Halim.

Dayus bagi Azlkan untuk terus memperisterikan Fatimah yang dengan lantang mahu Azlkan melepaskannya. Lupa Fatimah akan kebajikan 2 anaknya yang masih kecil hanya kerana menurut bisikan hati (syaitan?) bahawa Halim lebih mampu memberi kebahagiaan padanya berbanding Azlkan. Halim lebih lembut, Halim lebih romantis, Halim lebih pandai mengambil hatinya, Halim lebih memahami hati perempuannya (betina?), Halim yang sentiasa prihatin akan keadaan dirinya: kecantikan tubuhnya, wajahnya, pakaian yang dipakainya…Pokoknya Halimlah segala-galanya.

Maka bermadulah Nur ‘Ain Nabila dengan Fatimah. Apalah keadilan yang diharap dapat disempurnakan oleh seorang lelaki yang merampas isteri lelaki lain? Lalu perkahwinan Nur‘Ain Nabila – Halim – Fatimah menyaksikan ketidaksempurnaan dan ketidakadilan. Halim hanya menumpukan perhatian pada isteri barunya dan mengabaikan terus Nur ‘Ain dan 6 anak mereka.

Firman Allah, An-nisa’:3:

“Kemudian, jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Kisah Tiga

Bagi Farah Nur Iman pula, dia hanya menyalahkan dirinya apabila Izham dengan tenang bertanya apa pendapat Farah kalau dia berkahwin lagi? Izham hanya mengangguk tanda mengiakan pertanyaan Farah sama ada dia sudah ada calon. Calonnya? Seorang pendatang tanpa izin yang berusia 19 tahun.

Tatkala Izham memeluk Farah yang baring membelakangi suaminya, Izham meminta maaf kerana melukakan hati Farah. “Abang tak akan sia-siakan Farah macam orang lain, abang akan berlaku adil. Abang yakin abang mampu berlaku adil, abangpun tak tahu bagaimana abang boleh sayangkan orang lain sedangkan kasih abang pada Farah dan anak-anak tak luak sikitpun”. Farah hanya berdiam diri.

Izham memang suami yang baik dan penyayang walaupun mudah baran. Izham yang banyak mengalah bila mereka bergaduh dan mereka memang kerap bergaduh. Walaupun Farah yang bersalah namun Izham yang akan datang memeluk dan memujuk Farah, apabila keadaan hatinya telah redha, meminta maaf kerana melayan marah Farah sehingga mereka bergaduh besar.

Farah tahu bahawa dia yang menjadi punca suaminya terbuka hati untuk berkahwin lain. Sejak awal perkahwinan mereka lagi, dia tidak diterima sepenuh hati oleh ibu mertuanya. Izham, anak sulung kepada keluarga yang sederhana susah, amat diharapkan akan mengubah nasib keluarganya sebaik tamat pengajian. Sebaliknya Izham yang tidak dapat menahan gelora nafsu lelakinya mahu mencari isteri yang halal agar tidak terjerumus ke lembah zina.

Ibu bapanya walaupun amat berharap agar Izham membantu keluarga terlebih dahulu terpaksa akur dengan kedegilan Izham mahu memperisterikan Farah dengan segera. Kesannya, hati ibunya terluka dan walaupun Farah berusaha mengambil hati ibu itu namun kesilapan sedikit begitu cepat membekas dan akhirnya Farah dapat merasakan dengan jelas yang ibu Izham tidak menerimanya sepenuh hati walaupun sebenarnya ibu itu juga berusaha untuk menerima Farah demi Izham.

Mungkin benar kata Izham, apa yang berlaku sudah tercatat di lauhul mahfuz tetapi jauh di sudut hati, bagi Farah pilihan sentiasa di tangan manusia, dan kalau sudah memilih untuk bercinta lagi maka seandainya diizinkan Tuhan maka berlakulah qada’ dan qadar itu.

Kisah empat

Fauziah tidak tahu apa silapnya, apa yang masih kurang dalam perkahwinannya. Rashid memberitahunya bahawa tiada apa yang tidak cukup dalam rumah tangga mereka. semuanya sempurna. Fauziah seorang isteri yang baik, ibu yang pandai menjaga anak. Sangat penyayang dan lemah lembut.

Cakapnya berlapis dan sentiasa diatur agar tidak menyakitkan hati orang lain. Banyaknya dia hanya berdiam diri. Walaupun hati cukup tersentuh namun dia hanya berserah diri pada Yang Esa. Setelah berjumpa bakal madunya, dia berkata-kata sendiri dalam hatinya, patutlah suaminya sayangkan perempuan itu, sangat kontra dengan diri Fauziah.

Wardah cepat mesra, sangat peramah dan mudah ketawa. Ada saja topik yang dibualkannya. Tak kering gusi orang mendengar dan melihat keletahnya. Malah orang yang berada di sekelilingnya pasti terhibur dan merasa selesa kerana gurauannya yang bukan sahaja tidak kasar tapi banyak berhemah dan ucapannya ikhlas didengar.

Teringat Fauziah akan kata-kata Wardah tatkala mengetahui yang Fauziah sedang mengandung anak kelima. “Ehh, ya Allah , bila bersalinnya, mudah bersalin nanti tu, akak kan selalu senyum, orang yang ceria mudah bersalin tau. Banyak pahala orang mengandung ni kan, semua ikan-ikan di laut, burung-burung di udara , para malaikat, semuanya memohon keampunan untuk akak”, tatkala Fauziah melihat wajahnya, dia hanya nampak keikhlasan di hati Wardah.

Lalu walau bermadu itu ujian paling getir untuk dirinya, dia faham kenapa Rasyid terbuka hati untuk membina sebuah lagi masjid. Harapannya dia mampu dan tabah meniti kehidupan ini.

Kisah kelima

“Engkau tahu mana dia pergi?” Tanya rosli .

“Tau”, balasnya.

“Habis kenapa engkau tak mau bagitau aku, tolonglah Ita, aku nak minta maaf dengan dia”.

“Untuk apa?, dia dah jadi sejarah silam untuk engkau, engkau tak perlu nak kenang lagi dia, bukankah engkau yang kata engkau nak beri kebahagiaan pada pembantu rumah Indon engkau tu, engkau dah kahwinpun dengan pembantu engkau tu, dah bahagia, buat apa kau nak cari Hani lagi? Engkau tau tak betapa aku menyampah nak dengar nama engkau apalagi nak tolong engkau?’

“Aku tak kisah benci engkau pada aku tapi aku perlu jumpa Hani, sekalipun jadilah, aku nak pohon ampun darinya kerana mensia-siakan dirinya, aku nak minta maaf kerana melukakan hatinya. Aku akui aku tersilap kahwin dengan pembantu rumah kami tu, masa tu aku fikir itu jalan terbaik, tapi tak sangka Hani tak boleh terima”.

“Eh, jantan, isteri mana yang tahan? Engkau kahwin dengan pembantu rumah engkau sendiri, sembunyi-sembunyi, malam-malam engkau curi-curi tidur dengan dia, engkau berani kahwin tapi engkau tak berani berterus terang dengan Hani, suami apa engkau ni? Hani tu, aku susah nak jumpa isteri sebaik dia tau, sapa yang tanggung kau bertahun-tahun masa engkau kena buang kerja dulu? Bukan bini engkau yang engkau buang kerana si Indon tu? Ha! sekarang kenapa nak menyesal? Bukan ke engkau sendiri yang cari bala, sekarang ulitlah bini muda engkau tu siang malam. Biarkan Hani, dia dan anak-anak engkau bahagia dengan suami orang putih dia tu. Aku tengok suami orang putih dia tu layan dia penuh hormat, penuh kasih, anak-anak engkau pun bahagia, mengalahkan lelaki yang lahir dalam Islam macam engkau, engkau tau tak , nabi Muhammad tu isterinya ramai juga, tapi setiap seorang dari isterinya itu dilayan sama rata, tak ada beza, tapi engkau baru kahwin satu lagi dah tak dapat adil, asyik dengan yang muda aje,..ha, kenapa engkau melopong ni?”

“Apa kata engkau, Hani dah kahwin? Aku nak merayu pada dia untuk rujuk dengan aku”.

“hah, jantan gila, sudahlah engkau, engkau ingat apa? Hani tu cantik tau walau dah tua menurut engkau, sudahlah, malas aku nak layan engkau”.

Kisah enam

“Apakah jalan yangku pilih ini ya Allah, akan membawa aku ke syurga-mu atau aku bakal menjadi bahan bakar api neraka-Mu? Bukan aku tidak berusaha untuk redha, Engkau yang Maha Mengetahui, betapa aku mahu sentiasa redha, sentiasa tenang walau apa yang menantiku di setiap saat yang mendatang, tapi aku sentiasa kecundang. Kini aku merasakan yang telah hilang keyakinanku pada diriku, tapi apakah dengan begitu, itu bermakna aku telah berputus harap pada-mu? Aku sangat meyakini bahawa Engkau tidak pernah menzalimi hamba-Mu, tetapi hamba-Mu inilah yang mengundang kedukaan hadir dalam diri, tidak cukup bersih hati ini, tidak pernah mujahadah jiwa ini, .. hatiku sakit apabila melihat suamiku bahagia dengan isteri mudanya, bukankah itu tanda hati yang tidak bersih? Bukankah itu bukti pada hati yang tidak redha, hati yang masih tamak, tamak akan cinta dunia, sedang pada masa yang sama hamba-Mu ini sedar bahawa dunia ini hanyalah sementara, hamba-Mu ini meyakini akan adanya balasan di akhirat nanti pada setiap amal yang baik mahupun yang buruk, tetapi kenapa hati ini masih berkeluh-kesah, kenapa hati ini tidak redha sepenuhnya, mengapa hati ini masih cemburu akan kebahagiaan yang dikecapi suamiku? Ya Allah, bantulah aku, aku hamba-Mu yang jahil, aku hamba-Mu yang banyak sekali menzalimi diriku sendiri, dengan noda dan dosa, dengan ketidak-ikhlasan hati, dengan hasad dan dengki, mengapa begitu Ya Allah, mengapa aku sendiri menempah nerakaku? Bantulah aku ya Allah, bantulah aku menghadapi hidup bermadu ini, angkatlah kesedihan di hatiku dan buanglah kesedihan itu jauh-jauh. Hanya Engkau tempatku memohon, hanya Engkau tempat aku berserah diri. Aku ingin sekali hidup bahagia, aman dan damai,..aku mahu menjadi hamba yang bersyukur, sentiasa merasa cukup dengan apa yang Kau anugerahkan padaku, sentiasa redha dengan ketentuan-Mu. Jadikan hatiku ya Allah, sentiasa mengingati dan menyebut nama-Mu, agar dengan keagungan nama-Mu yang Maha Besar itu, hatiku bisa tenang dan damai. Aku sudah penat, Ya Allah, penat melayan perasaan negatif dalam diri, penat mahu bangun atas setiap kegagalanku mengawal perasaan, penat mahu membina semangat diri tetapi aku tahu Engkau Maha Pengatur segala-galanya, Engkau Maha Mengetahui apa yang ada di hadapan dan di belakang hamba-Mu. Engkau Maha Cintakan Kebajikan, aku tahu bahawa hatiku merasa sakit atas nasib baik orang lain adalah kerana dangkalnya imanku, aku tidak bersyukur atas anugerah-Mu kerana hatiku masih hitam. Lalu wahai Yang Memiliki hati-hati hamba-Mu, aku bermohon agar Kau masukkan cahaya-Mu melalui setiap arah tubuhku, Ya Allah, kupohon agar Kau berikanku taufik dan hidayah-Mu. Agar dengan itu aku tidak terhijab dengan kedukacitaanku. Agar dengan itu aku mampu menjadi orang yang banyak memberi kebajikan pada orang lain. Bantulah aku.”

Sebenarnya sebab mengapa seorang suami itu berpoligami atau seorang isteri itu dimadukan atau seorang wanita itu bermadu boleh datang dari pelbagai bentuk serta lahir dari berbagai-bagai cerita namun penghujung ceritanya tetap sama, iaitu, seorang suami yang menerima amanah perkahwinan lebih dari seorang wanita dalam satu waktu yang sama. Tanggung jawab berat yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat nanti

4.Hakikat

Bermadu. Kata orang manis bagi kaum lelaki namun cukup hempedu buat si isteri. Lalu, persoalan yang timbul andai begitu pahit bagi kaum hawa, maka, mengapakah Allah Yang Maha Berkuasa menghalalkannya dan menjadikannya salah satu fitrah pilihan buat hamba-Nya. Tidak mungkin Tuhan Yang Maha Adil akan membuat suatu hukum yang menganiayai hamba-hamba-Nya. Lalu kita perlu memuhasabah diri kita sendiri andai kita terkemelut dalam fenomena ini.

Apa benar bermadu itu manis buat lelaki? Bukankah untuk mengahwini seorang perempuanpun, amanah yang dipegang adalah besar? Apatah lagi untuk menanggung amanah lebih dari satu perempuan. Andai mampu dari segi kewangan namun mampukah dari segi lain? Layanan yang perlu diberi? Masa yang perlu dibahagi? Perhatian yang perlu diagih? Itu belum masuk bab kasih sayang, walau benar kasih ukuran manusia itu milik Allah namun, andai condong hati pada yang lebih dikasihi maka bukankah itu mengundang ketidakadilan?.

(maksudnya) “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

-Surah al-Nisa’ ayat 129

Kalau badan sihat serta masih gagah maka bolehlah dikuatkan juga melayan isteri-isteri itu, tapi jika ada masa tidak sihat? Masa yang sepatutnya digunakan untuk berehat mengumpul kekuatan untuk sembuh sebaliknya masih perlu dipakai buat menggiliri isteri-isteri. Ramai yang kecundang untuk adil bila berlaku konflik kepentingan seperti ini.

Belum diambil kira tentang anak-anak yang mungkin semakin bertambah kerana punya banyak ‘ladang’. Setiap anak juga perlu disempurnakan hak-haknya. Mana yang besar maka perlu diuruskan pembelajarannya manakala yang kecil pula dengan keperluan tumbesarannya, sakit demam dan makan pakai mereka, kesemuanya di bawah tanggungan suami. Persoalan-persoalan inilah yang perlu diambil kira oleh para suami jika terdetik hati untuk berkahwin lagi.

Apa benar pula, bermadu itu hempedu buat wanita? Bukankah ujian itu sebagai tanda ingatan Allah pada hamba-Nya, agar kita sentiasa merenung diri dan mengakui bahawa segala milik kita itu adalah hak Allah yang hanya dipinjamkan kepada kita buat sementara waktu cuma? Agar kita sedar bahawa dunia ini hanya sementara? Bukankah itu penanda didikan Allah buat hamba-Nya yang lemah lagi jahil? Agar si isteri yang selama ini pengharapannya jatuh pada si suami, sedar bahawa Allah jualah sebaik-baik tempat menaruh harap. Agar cinta isteri yang selama ini berdasarkan fitrah berubah menjadi cinta sejati yang hanya layak diberi pada Allah? Bukankah untuk mendapat syurga Allah itu dikelilingi oleh onak dan duri manakala neraka itu diulit kesenangan?

Mungkin hati boleh dipujuk andai mendekatkan diri dengan Yang Esa. Ingatlah sebaik-baik perkataan adalah ayat al-quran dan sebaik-baik perbuatan adalah solat. Dan firman Allah pula:

“Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya itu amat sukar kecuali pada orang-orang yang khusyuk”.

Al-baqarah.

Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”

Nasihat kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan terserlah pada wajah.

Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.

INTI PATI:

# Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

# Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.

# Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

# Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

# Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

# Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.

# Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

Advertisements

One thought on “poligami- Seribu’ satu kisah mengapa berpoligami

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s